Aku & Songsang
Songsang
Maafkan aku
kalau aku sering saja
berlaku songsang
Terutama
di perayaan tahunan
seperti hari ini...
Apabila semua orang
telah sedia duduk
aku bangun berdiri...
Apabila orang
bangun bertepuk-
aku duduk...!
Apabila orang
ghairah berbincang
aku tidur
Apabila orang
melepaskan merpati...
aku menabur padi
Orang lain
telah merdeka
aku belum...
Maafkan aku
kalau aku sering saja
berlaku songsang...
Aku hanya
ingin
mengingatkan
A. Latiff Mohidin
Kota Bharu, Nov 1976
Aku
Aku
warganegara
merdeka:
Kemerdekaan negara
kemerdekaanku…
Kebebasan kepadaku,
hanya satu beban:
apa pemimpin kata
aku ikut saja;
akal yang diberi Tuhan,
tak payah digunakan –
kecuali untuk cari makan…
Keraguan dan
Kerinduan
(jika ada)
ku bawa berlari,
berlari
dari rumah
ke pejabat,
dari pejabat
ke rumah
hingga hilang
segala sangsi,
dalam bunyi lantang
peti TV
tiap-tiap
malam hari.
Sambil ternganga
tengok
TV,
aku menjilat
jari
begitu sedapnya
ayam Kentucky
Dan aku akan
lebih tidak peduli
Aku mahu hidup begini
seribu tahun lagi…
Saleh Ben Joned, 1987
Comments
Post a Comment