Lambaian Pemergian Madrasah Ramadhan, Gamitan Kedatangan Graduasi Syawal

Aku tahu bahawa bukan aku seorang sahaja yang terasa sedih, sayu dan hiba apabila Ramadhan berada di penghujungnya... Memang kita akan teringat dan terkenang sama ada kita berpeluang untuk bertemu dan mendakap kemuliaan Ramadhan lagi atau tidak untuk tahun yang mendatang. Tambah sedih lagi apabila mengenangkan bahawa diri ini tidak betul-betul memanfaatkan bulan barakah ini dengan amalan yang sepatutnya! Dalam pada beberapa orang manusia merasa sedih akan pemergiannya, ada pula yang bertempik berteriak melagukan kegembiraan akan kehadiran Syawal melebihi kegembiraan menyambut Ramadhan. Memang hairan tapi itulah senario umum yang berlaku di persekitaran aku.

Beberapa hari yang lalu, aku mendengar tazkirah ringkas tentang kisah manusia menyambut Ramadhan dan Syawal. Tanpa perlu diberitahu, semua orang seakan-akan faham dan tahu apa yang dianggap patut dibuat bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri - buat kuih raya; beli langsir baru, perabot baru, perkakas rumah baru; sediakan duit raya; cat rumah; buat perancangan rumah terbuka; beli baju baru, kasut baru, tudung baru dan yang seumpamanya. Pendek kata, semua barulah!

Ramai sebenarnya yang tak sedar tentang perkara ni. Kalau ada yang sedar pun, mereka tetap melakukan perkara yang sama kerana menuruti hawa nafsu sendiri. Bulan Ramadhan boleh diumpamakan seperti sebuah madrasah, sekolah ataupun sebuah institusi pendidikan. Ia menjadi medan untuk mentarbiyah manusia. Setelah berjaya melalui pentarbiyahan dalam satu-satu tempoh tertentu, manusia akan meraikan kejayaannya sepanjang berada di madrasah tersebut dengan hari graduasi atau konvokesyen. Malangnya, mereka yang gagal dalam madrasah dan ujian Ramadhan ini pulalah yang sibuk terkinja-kinja meraikan hari konvokesyen Syawal. Begitulah gelagat manusia macapada ini yang sibuk meraikan hari kemenangan tanpa memahami maksud sebenar di sebalik perayaan ini.


Di kesempatan ini, aku mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Mohon maaf atas segala kesalahan baik terkasar bahasa atau tersilap laku! Minal 'aid wal faidzin
'Pemergian Kemuliaan Ramadhan ditangisi, Kehadiran Kemenangan Syawal disyukuri'. Moga kita semua meraikan dan menghargai kedua-duanya dengan sebaiknya!

Ikhlas Daripada ~ Nurul Jawahir Md Ali @ Hikari @ Kaklong @ Hakimah @ Jaws @ Josh

Comments

Popular Posts