Alkisah Kampung Siswa (KAMSIS)

Penulis berasa gembira kerana setelah sekian lama bercuti, penulis akan kembali semula ke bumi ilmu UKM yang tercinta untuk meneruskan pengajian ilmu. Pastilah, penulis juga akan sibuk mengemas barang seperti mahasiswa lain (yang menginap di dalam kawasan kampus) untuk mendaftar masuk kolej kediaman. Penulis sedikit teruja untuk 'meredah' tempat baru yang agak asing bagi penulis kerana berlakunya penghijrahan kolej kediaman dari Kolej Rahim Kajai ke Kolej Pendeta Za'ba.

Meja penulis dilimpahi air hujan apabila siling bilik di Kolej Rahim Kajai mengalami kebocoran. Walhal, penulis telah 'merasmikan' bilik yang baru siap diubah suai ini! Tiada tindakan diambil walaupun aduan telah banyak kali dilaporkan sehingga memakan masa lebih 2 bulan. Alasannya ialah kontraktor Unit Perumahan Pelajar (UPP) mengalami kekangan untuk menzirahi dan membaiki setiap kerosakan di semua kolej di UKM. Masalah ini selesai setelah penulis menghubungi terus Pengetua kolej melalui telefon bimbitnya.

Apabila penulis memberitahu seorang sahabat (bekas JAKSA) bahawa permohonan (bukan rayuan) penulis untuk terus menginap di KRK ditolak (dalam bahasa mudahnya, kena 'buang' atau 'tendang'), rakan tersebut menghela nafas tidak gembira dalam pada ketawanya. Mana tidaknya, mengingatkan sahaja kata-kata seorang JAKSA tersebut (yang membuang penulis ke KPZ) bisa membuatkannya sedikit tertawa: "Budak tu ekstrem, orang kuat GM. Muka dia siap keluar blog GM lagi. Aku nak buang budak ni". Penulis pun turut ketawa. Memang ada kelakarnya. Jika direnung dan difikir secara rasional (tambahan lagi sebagai seorang yang berintelektual), memang kelakar apabila mahasiswa bijak pandai macam JAKSA tersebut boleh membuang pelajar dengan hujah dan penalaran yang lemah. Apakah justifikasinya?

Geram ada, kelakar pun ada. Itulah harga yang perlu dibayar apabila mahasiswa di sebuah IPTA yang bergelar 'universiti penyelidikan' yang terkenal memilih untuk bebas bersuara dan memilih kebenaran daripada publisiti murahan yang nyata dustanya. Kawan-kawan sekamsis pula yang geram mendengar khabar ini. Pelajar yang tidak pernah menyertai apa-apa biro (organisasi dalam JAKSA) pun boleh kekal mendiami kolej. Walau bagaimanapun, penulis menganggap perkara ini sebagai peluang daripada Allah untuk berhijrah! Tiada sedikit pun rasa sedih di hati.

Sepatutnya, setiap kolej kediaman mestilah mempunyai piawaian atau standardisasi bagi menilai seseorang pelajar itu bagi membolehkannya kekal menginap di kolej tersebut; baik penilaian dari aspek akademik mahupun pencapaian dalam aktiviti berorganisasi (itupun kalau benar-benar kolej tersebut ketiadaan bilik lagi untuk menempatkannya). Malangnya, apa yang terjadi adalah sebaliknya. Sahabat yang memperoleh PNGS 3.90 pun dibuang dari Kolej Ibrahim Yaakob kerana dicop sebagai 'budak' GM dan juga ahli kelab surau! Kolej-kolej lain juga melakukan pembersihan terhadap pelajar penggiat surau dan juga penyokong GMUKM. Sungguh sadis dan mengecewakan. Inikah tindakan yang berwibawa oleh golongan yang dianggap intelek??? Penulis berasa kasihan kepada mereka yang cetek akal budi ini! Tinggalkan kisah ini di sini.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Dengan semangat yang berkobar-kobar untuk meneruskan perjuangan menuntut ilmu, penulis menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepada seorang sahabat bertanyakan waktu pejabat kolej tersebut dibuka bagi mendaftar. Maka, penulis pun menerimalah balasan SMS daripadanya berbunyi begini:
"KPZ, UKM: Salam & Salam 1 Malaysia. Ingin dimaklumkan tarikh pendaftaran pelajar senior & siswazah sesi 2010/2011 adalah pada 10 - 11/7/2010 (9 pg - 5 ptg) bertempat di Dewan Seminar. Sila bawa kad pelajar bersama. Selepas pada tarikh itu, tindakan denda akan dikenakan sebanyak RM15. Harap maklum, terima kasih."
Penulis lantas terkenangkan seorang sahabat (yang juga dibuang dari kamsis asalnya, Kolej Ibrahim Yaakob). Sahabat tersebut tidak dapat mendaftar pada waktu tersebut lantaran tiket basnya yang lewat (tiket lain telah habis). Apakah justifikasi untuk mengenakan denda? Adakah kelewatan mendaftar akan mengundang kerugian di pihak pentadbiran kolej? Ataupun atas rasional untuk mendisiplinkan pelajar? Mungkin ada individu yang husnuzoon terhadap perkara ini tetapi penulis tidak bersetuju. Boleh jadi kelewatan itu bukan pilihan mereka. RM15 itu merupakan nilai yang tinggi bagi sahabat yang mengekang perut akibat masalah kewangan.

Kepada rakan mahasiswa, kita perlu mengetahui bahawa kita semua adalah klien atau pelanggan kepada universiti. Kita mempunyai hak dan suara. Usahlah menjadi bisu dan mengikut sahaja seperti lembu dicucuk hidung dan kekal berada dalam status quo atau zon selesa. Jangan menjadi pengecut dan bacul daripada menegakkan sesuatu kebenaran itu. Tegarkah kita menjadi dayus dengan melihat kepincangan dilakukan begitu sahaja?

Kepada mereka yang bergelar pentadbir atau penjawat awam dan tidak ketinggalan juga Jawatankuasa KEBAJIKAN Siswa Siswi (JAKSA); sedari dan insafilah bahawa kerja dan tugas yang digalas itu adalah amanah dan juga sebahagian daripada ibadah yang akan ditanya oleh Allah S.W.T kelak! Usahlah pincang dan berat sebelah dalam melaksanakannya. Banyak pahala yang akan diperoleh apabila kita ikhlas dan amanah dalam menjalankan tanggungjawab tersebut. Sebelum kita melakukan ketidakadilan kepada pelajar ataupun pelanggan-pelanggan lain di medan kampus ini, fikirkan kembali jika mereka ini adalah anak-anak atau ahli keluarga kita sendiri! Gembira atau sanggupkah kita jika mereka diperbuat sedemikian rupa?!


In the battle where most follow the injustice, do you stand to see and just watch?
Why follow when you can take the lead to absolute truth and justice!

.::MOVING TOGETHER TO LEAD CHANGE::.


Transformasi Dipacu Bergerak Maju
Rapsodi Ungu, Emansipasi Baru

Comments

  1. STUDENT POWER!!
    Slmat kembali ke kampus..^_^

    ReplyDelete
  2. teringat dok kat kamsis kajai dulu http://cemomoi.blogspot.com/2011/03/kata-ahmad-nisfu-adoih-bala-dah-datang.html

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts