Kontradiksi Islam & Ilmu?
Semester ini, penulis berpeluang untuk belajar kursus wajib fakulti (FSSK), Pengantar Falsafah. Umumnya, kursus wajib FSSK ini menyentuh tentang falsafah Barat sahaja. Walau bagaimanapun, terdapat rakan-rakan dari set berbeza bercerita tentang pensyarahnya yang berpesan kepada pelajarnya bahawa ilmu yang diajarkan dalam kelas ini adalah bertunjangkan Barat yang mana kita harus berhati-hati dan tidak mencedoknya bulat-bulat dalam aplikasi ilmu. Yalah, agama Islam sendiri mempunyai pedoman yang cukup sempurna sebagai pegangan penganutnya. Namun, pensyarah penulis ini sedikit berbeza. Beliau lancar berbicara tentang falsafah yang agak sedikit kontradik dengan Islam. Nyata, pensyarah ini sangat pakar dalam perkara yang diajarkan.
Penulis mendapati, pensyarah ini agak skeptikal terhadap golongan agama berdasarkan beberapa kenyataan beliau. Memang benar, golongan agamawan Kristian pada Zaman Gelap Eropah menolak ilmu sains dan perkembangan ilmu lain pada waktu itu. Namun, pensyarah ini lebih mengkritik ulama dan agamawan Islam dalam kuliahnya.
Ada beberapa kenyataan beliau dalam kuliah yang berbeza-beza membimbangkan penulis termasuklah contoh yang beliau berikan dalam kuliah. Antaranya:
1. Perkuliahan Minggu 5 tentang Teori Kebenaran. Teori Kebenaran ada 3, iaitu Teori Koresponden, Teori Koherensi dan Teori Pragmatik. Sedikit definisi teori-teori ini:
Teori Koresponden - sesuatu itu dianggap benar jika mempunyai fakta dan objek, yang mana selari dengan realiti dan situasi.
Contoh: Kewujudan dinosaur adalah benar kerana terdapat bukti penemuan tulang dan rangkanya.
Teori Koherensi - sesuatu itu dianggap benar jika mendapat justifikasi dan berpadanan dengan sesuatu yang terlebih dahulu diketahui, diterima dan diakui benar.
Contoh: Sesuatu itu dianggap benar jika selari dengan Al-Quran dan Hadith yang mana menjadi rujukan autoriti dalam kalangan umat Islam.
Teori Pragmatik - sesuatu itu dianggap benar jika ia bersifat fungsional yakni praktikal, boleh diaplikasi dan mempunyai nilai utiliti (boleh guna).
Pensyarah ini berkata (lebih kurang begini): Teori Koherensi digunakan oleh agamawan Islam. Mereka pintar mengeluarkan hujah dari ayat al-Quran dan Hadith bagi membuktikan sesuatu. Namun, Teori Pragmatik penting pada masa ini. Wujud sedikit kontroversi antara penganut Islam dari dua aliran teori ini. Saya kira teori pragmatik akan berkembang lebih luas sedikit masa nanti dalam mengulas bicara tentang agama. Agama perlu berbeza mengikut zaman agar sesuai dan praktikal. Justeru, Teori Kebenaran Pragmatik akan menjadi lebih penting dan mendapat tempat pada beberapa waktu nanti.
2. Dalam kuliah minggu 6, beliau menyambung topik lepas (topik utama Epistemologi) tentang kaedah berfikir secara rasionalis yang mana berkaitan rapat dengan sains. Antara isi yang beliau sampaikan:
Dalam kaedah berfikir secara rasional, kita tidak boleh menerima sesuatu itu begitu sahaja tanpa dikaji dengan teliti dan analitikal. Sesuatu kebenaran itu tidak muncul secara tiba-tiba tetapi perlu diproses melalui mekanisme ilmiah. Contohnya ialah kenyataan ulama tentang tsunami. Mereka tanpa sebarang kajian mengeluarkan kenyataan bahawa tsunami, gempa bumi & bencana alam lain yang berlaku di bumi sekarang adalah petanda bala dan kemurkaan Allah kepada manusia yang banyak berbuat ingkar dan kemaksiatan. Namun, ahli sains membuktikan, tsunami dan gempa bumi berlaku kerana pergeseran dan pergerakan plat atau kerak bumi. Kita tidak boleh main keluar kenyataan je. Kena fikir secara rasional dan saintifik.
3. Kuliah minggu 8. Tajuknya ialah hujahan/reasoning yang mana berkaitan dengan silogisme - logika. Beliau memberikan contoh hujahan logik induktif. Logik induktif - membuat kesimpulan umum daripada premis khusus. Logik induktif sememangnya lemah dalam hujahan kerana generalisasi terbentuk daripada dapatan khusus. Contoh:
PREMIS 1: Merpati, gagak, nuri, kakak tua, kenari & pipit adalah burung.
PREMIS 2: Merpati, gagak, nuri, kakak tua, kenari & pipit boleh terbang.
KESIMPULAN: Semua burung boleh terbang.
Kesimpulan ini salah kerana membuat generalisasi bahawa semua burung boleh terbang hanya berdasarkan beberapa contoh. Kali ini, beliau mengkritik:
Begitulah dengan sesetengah ustaz di Malaysia ni. Mereka baru tengok sikit tapi dah buat kenyataan umum. Ada ustaz tu cakap, 'Jom Heboh' anjuran TV3 merosakkan akhlak remaja di Malaysia. Padahal, bukan semua program 'Jom Heboh' menyebabkan berlakunya masalah sosial. Itula,h main cakap je. Dia baru nampak masalah sosial sikit tapi dah cakap Jom Heboh merosakkan akhlak remaja seluruh Malaysia.
Coretan yang sedikit di atas hanyalah sebagai perkongsian penulis yang mana bukan berniat untuk menjatuhkan atau mengaibkan seseorang. Penulis sekadar ingin berkongsi rencah yang dialami dan ditemui semasa mencari ilmu di mukim kampus ini. Penulis juga ingin memberi peringatan bahawa ilmu itu perlu diiringi dengan pertimbangan iman dan juga pegangan agama yang kukuh. Jika tidak, sesuatu ilmu itu akan membawa seseorang itu jauh daripada Allah s.w.t malah bukan mendekatiNya lagi. Islam tidak menghalang penganutnya menuntut ilmu malah sangat disuruh oleh Allah. Akhir kata, tepuk dada tanyalah iman.
Comments
Post a Comment