Bahasa Jiwa Bangsa


BAHASA JIWA BANGSA

Gunakanlah Bahasa Kebangsaan Kita
Marilah Amalkan Ramai-ramai
Bahasalah Menyatukan Kita Semua
Yakinlah Bahasa Jiwa Bangsa

Marilah Mari Rakyat Semua
Buktikan Taat Setia dengan Satu Bahasa
Maju Bangsa dan Maju Negara
Megahkan Bahasa Kita Bahasa Jiwa Bangsa

Lagu & Lirik: Dol Ramli

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Mendengarkan dendangan lagu ini bisa saja membuatkan penulis teringat saat berada di sekolah semasa tingkatan enam dahulu yang telah ditinggalkan selama dua tahun kerana lagu ini acapkali dinyanyikan semasa perhimpunan pagi.

Sudah lama lagu ini tidak kedengaran di telinga penulis. Meskipun bait katanya tiada lain tetapi menanamkan semangat tentang betapa pentingnya bahasa melambangkan kekuatan bangsa, namun ironinya senario nusa dan tanah air kita menggambarkan perkara yang berbeza. Hari ini, penulis menemukan lagu ini dimainkan di sebuah saluran televisyen Malaysia. Anehnya, siaran video lagu tersebut beserta liriknya yang diterbitkan oleh Filem Negara Malaysia berbeza berbanding video asalnya kerana diakhiri dengan logo 1 Malaysia. Adakah setelah 1 Malaysia dilahirkan baru bahasa ini dipedulikan? Mengapa video asalnya perlu disunting dan diletakkan logo 1 Malaysia? Sebelum 1 Malaysia, 'siapakah' yang ambil peduli tentang perjuangan bahasa? Bagaimana kita mahu memperkasa bangsa jika bahasa kita sendiri 'melukut di tepi gantang'? Bagaimana bahasa penjajah mendiami dan menghuni bangsa 1 Malaysia sehingga masih ada yang tidak tahu menuturkannya secara fasih?

Seorang pensyarah kepada penulis pernah bercerita akan pengalamannya mengajar bahasa Melayu sebagai bahasa asing kepada seorang pemuda Melayu yang lahir dan dibesarkan di negara bekas penjajah. Beliau juga mempunyai pelajar dari pelbagai negara seperti China, Perancis, Asia Barat dan lain-lain. Majoritinya dapat menuturkan bahasa Melayu secara baik dengan aksen yang minor. Beliau juga pernah berkunjung ke negara China dan berpeluang untuk berinteraksi dengan pelajar China yang mempelajari bahasa Melayu di salah sebuah universiti yang mengajar bahasa ini di China. Mengkagumkan, mereka dapat bertutur bahasa ini tanpa pelat! Mengapa sebahagian rakyat 1 Malaysia masih pelat ketika bertutur bahasa kebangsaan ini? Mengapa ada antara rakyat 1 Malaysia sendiri masih tidak tahu langsung bertutur bahasa ini? Hal ini pernah dialami sendiri oleh penulis kita melihat interaksi antara pesakit dengan staf hospital. Bukankah ini sesuatu yang menghairankan? Tidak dapat dinafikan, dasar negara ini sendiri telah menyebabkan bahasa Melayu diperlekeh dan dipandang rendah.

Bukannya ingin menghalang pembelajaran sesuatu bahasa namun, usahlah dianaktirikan bahasa kebangsaan. Tiadalah lagi jati bangsa 1 Malaysia tanpa kesatuan bahasa. Sorotilah sejarah pembangunan negara bangsa Perancis, Sepanyol dan sebagainya yang mana bahasa menjadi antara aspek yang terpenting dalam pembangunan negara bangsa tersebut. Bahasa bukan sahaja merupakan jiwa bangsa, tetapi nyawa peradaban manusia dan pertalian insani antara kita.

Comments

Popular Posts