Perjalanan Menemui Ilahi - Pemergian Dr. Fathi Yakan

Ikhwan-jor.com semalam telah mengkhabarkan berita yang cukup meruntun jiwa iaitu, pulangnya Dr. Fathi Yakan ke pangkuan Allah Taala pada awal pagi semalam pada usia 76 tahun. Dr. Fathi Yakan telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di sebuah hospital di Lubnan setelah dimasukkan ke hospital beberapa hari yang lepas kerana menghadapi masalah kesihatan yang teruk.


Dr. Fathi Yakan ialah pendakwah dan sarjana Islam yang terkemuka. Beliau dilahirkan di Tarablas, Lubnan pada 9 Februari 1933 dan telah mendapat ijazah doktor falsafah dalam bidang pengajian Islam dan Bahasa Arab. Beliau telah berkahwin dengan Dr. Mona Haddad Yakan dan dikurniakan dengan 5 orang cahaya mata, 4 perempuan dan 1 lelaki. Beliau terlibat dengan kerja-kerja Islam sejak tahun 1950an lagi dan merupakan antara tokoh gerakan Islam bahkan menjadi pelopor penubuhan Jamaah Islam di Lubnan pada awal 1960an.

Beliau telah menjawat jawatan ketua umum di dalam Jamaah Islam sehinggalah pada tahun 1992 dan pernah menyertai Perhimpunan Islam Antarabangsa (International Islamic Conference). Pada tahun tersebut beliau telah bertanding dan telah memenangi kerusi parlimen. Beliau kekal menjawat jawatan tersebut sehinggalah pada tahun 1996. Beliau telah mengambil peranan penting untuk menghentikan peperangan Mukhayyam Narul Barid di utara Lubnan antara Tentera Lubnan dan Jamaah Fathul Islami pada tahun 2007.

Dr. Fathi Yakan telah menyumbang tenaga dalam mempelopori fikrah gerakan Islam dalam dunia Arab dan beliau juga telah menyebarkan risalah dan tulisan sebagai panduan generasi-generasi kebangkitan Islam dan kebanyakan daripada tulisan beliau telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa. Antara tulisannya yang sangat terkenal ialah Maza Ya'ni Intiami lil Islam (Apa Ertinya Saya Menganut Islam). Sesungguhnya jasa dan sumbangan beliau terhadap umat Islam adalah sangat berharga.

Comments

Popular Posts